~segala rasa itu adalah anugerah...hingga tercetusnya ilham~

Saturday, January 29, 2011

CERPEN : Vanilla vs Strawberi

BAB 1

            “Encik, sini ada kerja kosong?”

            Izani memandang aku dari atas ke bawah lalu menjawab, “Awak boleh kerja kat sini ke? Tengok gaya macam tak boleh aje kerja-kerja macam ni…tak sesuai dengan awak…”

            Terpana aku mendengar kata-kata perli dan senyum sinis mamat tersebut. Mentang-mentanglah aku mengenakan sepasang kebaya labuh, sepasang kasut bertumit tinggi, wajahku dirias sedikit dengan warna-warni make up. Perghh macam model sekali pandang. Dua kali pandang macam siapa ya…eh mestilah ini aku! Hehe…

            “Emm encik jangan pandang saya rendah tau. Belum kenal belum tahu. Bila dah tahu nanti, siap tabik spring lagi encik pada saya tau…Encik, saya serius ni. Kalau ada kerja kosong, encik boleh interview saya sekarang juga. Saya dah bersedia ni.”

            “Jangan haraplah saya nak bagi tabik spring pada awak, lebih baik saya bagi spring buruk yang tersadai kat belakang rumah saya, nak?!”

            Eh menyampahnya mamat ni! Aku datang sini nak cari kerja, bukannya nak cari pasal. Memandangkan mamat spring ini adalah pengurus Chinta Café, terpaksalah aku bertahan seketika. Aku harus sabar!

            “Oh belajar lagi rupanya…Cik adik, belajar pun tak habis lagi ada hati nak cari kerja ya…Dah ada peluang belajar sampai universiti, gunalah baik-baik. Saya tak nak bila awak kerja, awak dah pegang duit sendiri, mood belajar awak makin hilang. Lepas tu, awak tak score, awak tak dapat habiskan pengajian awak, kemudian awak cari jantan kaya, terus kahwin! Itupun kalau ada yang nak awaklah, kan…emm bayangkan kalau awak cuma kahwin dengan orang biasa aje, miskin, nak tanggung awak pun tak mampu, kesian awak..isk..isk..itupun kalau ada yang nak awaklah. Kalau tak ada, tak kahwinlah gamaknya. Awak kerja kat sini sampai dah berkedut. Kesian awak, kan…”

            Ewah-ewah suka hati dia aje nak bagi telinga aku ini bernanah. Aku kahwin ke aku tak kahwin ke orang tak nak aku ke, apa dia kisah? Tak ada kaitan langsung pun hidup aku dengan dia. Astagfirullahalazim…bawa mengucap Ann…Kalau rasa geram aku ni tersembul keluar dari mulut comel ni, alamatnya say goodbye to Chinta Café ajelah. Lantas aku ukirkan senyuman manisku padanya.

            “Apa senyum-senyum? Jangan ingat dengan senyum ‘sumbing’ awak tu, awak diterima kerja kat sini tau. Awak dah ada teman istimewa belum?”

            Aku kehairanan. “Encik, penting ke saya jawab soalan tu? Boleh saya tahu perkaitan antara soalan encik tadi dengan kerja kat sini?”

            “Emm…penting! Sebabnya bila awak ada boyfriend, awak tak dapat nak fokus pada kerja awak sepenuhnya. Mana tidaknya, asyik berkepit aje dengan handphone. Sikit-sikit nak kena buat laporan ringkas. Lepas tu, bila boyfriend awak datang sini konon rindukan girlfriend kesayangannya ni, mulalah awak tersenyum sana tersenyum sini, main jeling-jeling mata pula tu. Eiii tak kuasa! Tolonglah! Bukan tu aje, pandai buat ‘cuti’ sendiri, katanya sakit matalah, sakit jiwalah, padahal berjiwang-jiwang pergi dating dengan boyfriend awak. Sekarang dah faham?!”

            Aku mengangguk laju-laju menandakan faham dengan penerangan mamat tersebut. Tiada masalah bagi aku. Aku tersenyum lagi.

            “Ehem…apa awak buat ni? Kalau nak bercinta pun, janganlah kat Chinta Café ni..hihi…”

            “Sorry bos. Bukan bercinta bos. Kalau bercinta pun, tak mahulah saya dengan minah senget ni.”
            “Bos? Oh maknanya saya kena tipu hidup-hiduplah ni ya? Kuang asam keping betul! Kau tunggulah!” aku berbisik halus di sisi mamat yang menyamar menjadi pengurus di situ. Tak lupa aku hadiahkan satu jelingan tajam pada penipu itu.

            “Encik, sebenarnya saya datang sini nak cari kerja untuk sementara aje. Sekadar mengisi masa cuti semester saya selama tiga bulan ni. Emm ‘bertuah’ sungguh saya dapat bertemu dengan pekerja encik ni. Susah nak jumpa lelaki yang berhati baik macam dia. Siap tolong encik interview saya lagi.”

            “Laa ye ke? Izani ni bukan sahaja seorang lelaki yang baik hati, malah dia seorang pekerja yang berdedikasi, yang sungguh komited dan yang paling penting sikap jujurnya, kan Iz? Baiklah Cik…?”

            “Raihana…”

            “Oh baiklah Cik Raihana. Biar saya terangkan serba ringkas pada Cik Raihana. Café aiskrim ni sebenarnya memang memerlukan pekerja lagi, terutamanya pekerja wanita. Bidang kerja di café ni terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, bahagian outdoor iaitu melayan pelanggan, mengambil dan menghantar pesanan dan yang seerti dengannya. Kira bahagian customer service lah. Manakala yang kedua, iaitu bahagian indoor yang membabitkan kerja-kerja seperti menyiapkan pesanan pelanggan dine-in dan take away, sebagai cashier, dan juga sebagai dishwasher. Biasanya, sesiapa yang baru mula bekerja memang kita akan tugaskan dia menjaga bahagian outdoor, kemudian bila kita puas hati dengan performance kerja dia, baru kita serap dia untuk in-charge bahagian indoor. Setakat ini, itu sahaja yang saya perlu terangkan pada Cik Raihana. So, macam mana? Setuju nak kerja di sini?”

            “Faham, encik. Insya-allah saya akan buat yang terbaik. Saya akan buktikan saya boleh bekerja di sini. Bagi saya, pengalaman tu lebih berharga. Saya tak akan sesekali lepaskan begitu aje.”

            “Baguslah kalau macam tu. Awak boleh mulakan kerja minggu depan ya.”

            “Terima kasih Encik Mokhtar kerana bagi saya peluang sebegini.”

            Sebelum aku melangkah keluar dari Chinta Café, sempat lagi aku mengenyitkan mata kiriku pada mamat spring tu. Mulai minggu depan, aku kena bersiap sedia untuk mengadap muka dia saban hari. Tak apalah. Yang penting aku dah dapat kerja. Yahoo!!

BAB 2

            Sudah dua minggu berlalu…aku semakin serasi dengan kerjaku kini, tapi aku masih tak serasi lagi dengan Izani, mamat spring itu. Ada sahaja idea dia untuk membuli aku. Tak sah kalau sehari tak ‘kerjakan’ aku. Isk ada juga orang macam ni. Kesian rasanya sesiapa yang menjadi teman istimewanya, apatah lagi isterinya.

            “Hei, tu dok buat apa tercegat macam mak guard aje? Kan aku suruh kau pergi stor ambil stok aiskrim vanilla? Dahlah pergi stor aje pun berjam-jam…”

            “Erk? Sorry…aku pergi sekarang! Kau kira sampai seratus tau!”

            Aku menolak troli barang menuju ke bilik stor yang terletak di tingkat 1 pusat membeli-belah tersebut. Semasa aku mula bekerja di cafe, aku agak takut apabila disuruh pergi stor tersebut seorang diri. Keadaan kawasan bilik stor agak sunyi, tambahan pula menjadi tempat pekerja-pekerja kedai lain duduk melepak sambil menghembus ‘udara busuk’ itu. Berkepul-kepul asap di ruang itu membuatkan tekakku berasa loya dan baju uniform putih aku berbau rokok.

             “Mak oi beratnya bucket aiskrim ni. Boleh masuk hospital macam ni kalau hari-hari kena angkut…”

            Sedang aku membebel, tiba-tiba bilik stor tersebut menjadi gelap!
Black out ke? Macam mana ni? Apa aku nak buat? Gelap-gelita ni tak nampak apa-apa…Ya Allah, peliharalah aku…”

Aku menolak troli tadi yang berisi bucket aiskrim vanilla dengan berhati-hati menuju ke pintu keluar. Aku memulas tombol pintu. Erk? Aku cuba membuka pintu tersebut beberapa kali tetapi sia-sia. Berpeluh-peluh tubuhku walaupun bilik itu dilengkapi dengan penghawa dingin. Aku cuba lagi mengetuk pintu berulang kali dan berharap ada seseorang yang kebetulan lalu di situ mendengar jeritan dan ketukan pintuku. Namun, nasib tidak menyebelahi aku. Aku terduduk di muka pintu. Fikiranku ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri daripada situasi ini. Tanpa disedari, kelopak mataku semakin lama semakin tertutup. Dan akhirnya mimpi mengiringi lenaku…

Setengah jam kemudian, aku terjaga dari tidurku. Aku cuba memulas sekali lagi tombol pintu. Berjaya! Baru aku sedar, segugus kunci stor tiada padaku. Tanpa berlengah, terus aku meluru ke Chinta Café…

“Bukan seratus aje aku kira, sampai berjuta sudah. Lain kali nak curi tulang ajak aku sama, jangan curi sorang-sorang aje. Emm curi tulang ke curi aiskrim cik adik?”

“Sebenarnya…tadi…aku…”

Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, aku ternampak sesuatu di poket apron Izani. Kunci stor! Pasti!

“Sebenarnya aku bukan curi tulang, tapi orang yang nak curi aku. Siap kurung aku lagi. aku rileks aje. Kalau ikutkan tak ada niat pun nak curi tulang ke curi aiskrim ke, tapi memandangkan peluang baik punya, aku siap boleh makan-makan aiskrim dalam tu, lepas tu apa lagi, tidurrrrr…sepatutnya aku nak ucapkan terima kasihlah kat orang tu bagi aku peluang macam tu…emm thanks ya!”

BAB 3

Keadaan di Chinta Café semakin sibuk. Tambahan pula, musim cuti sekolah sudah tiba. Tak menang tangan dan kaki dibuatnya. Terkejar sana terkejar sini sampai perut pun asyik berbunyi minta diisi. Walau penat macam mana pun, muka haruslah ceria dan senyum di hadapan pelanggan. Itu etika kerja. Tetapi ada sesuatu kepelikan berlaku sejak akhir-akhir ini iaitu tingkah Izani padaku. Cukup berbeza. Aku tidak lagi dibuli, tidak lagi diperli, kata-katanya jua elok tersusun dan diselitkan lawak jenaka. Aku tenang acapkali melihat sepasang mata dan seukir senyuman milik jejaka itu. Oh tidak mungkin!

“Ann dah makan? Kalau belum, Iz nak tolong pergi ‘tapau’kan ni. Ann nak makan apa ya?”

“Kenapa tanya…nak belanja Ann ya? Emm boleh juga. Ann nak nasi goreng kampung, tambah telur mata kerbau, emm nak pedas-pedas, lepas tu nak sup kosong, sebab kadang-kadang ada kedai makan yang kedekut sup, jangan lupa tambah cili potong kicap tu tau. Ann nak air Nescafe ais ok!”

“Aik, mana dia pergi ni? Aku cakap sorang-sorang ke tadi? haisyh…”

Selang beberapa minit kemudian, Izani kembali ke café dengan tangan kosong. Aku memandang muka selamba Izani.

“Makcik kedai tu cakap nak nasi goreng kampung, pergi balik kampung. Lepas tu telur mata kerbau, kena minta kat kerbau. Sebab makcik tu cuma ada mata sendiri aje. Nak pedas, pergi singgah pekan Pedas. Lepas tu makcik tu memang kedekut sup. Ni Iz ada beli cili hijau ni tadi, ambillah. Cukup untuk isi perut tu. Air Nescafe tak ada, air Chinta Café adalah. Hihi…”

Suhu api aku yang naik mendadak hingga 100 darjah celcius tidak dihiraukannya. Izani melangkah masuk ke bilik kecil di belakang café. Arghhh!! Geramnya aku!! Memandangkan ada Ray di kaunter bayaran, membolehkan aku pergi ke ladies. Aku membasuh mukaku sambil menenangkan hati yang membara ini.

Sekembalinya dari bilik air, aku terus menuju ke bilik kecil itu untuk touch up mukaku. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat hiasan dan hidangan di atas meja bulat yang terdapat di dalam bilik tersebut. Nasi goreng kampung seperti yang dipesan elok terhidang di atas meja, café latte kegemaranku turut tersedia. Diukir buih susu yang berbentuk love atas latte itu.  Dua biji telur mata kerbau dibentukkan menjadi sepasang mata manakala cili potong disusun menjadi mulut.  Emm ada tiga kuntum bunga ros pink di tengah-tengah meja bulat itu dan diselitkan dengan sekeping nota ringkas yang berbunyi,

Sayang, selamat hari jadi ya…khas untuk sayang…sayang dah tak marah Iz kan
enjoy your meal my dear…

Happy birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Raihana, happy birthday to you…cepat tiup lilin ni. Karang tak sempat pula nak makan kek aiskrim ni…habis melayang duit untuk kek ni tau..ganti balik”

Terkedu aku seketika. Aku bagaikan di awang-awangan dengan apa yang berlaku ini. Ada satu aje persoalan yang bermain di otakku…

SAYANG???

BAB 4

Aku masih bekerja di Chinta Café walaupun semester sudah dibuka. Memandangkan tahun ini tahun terakhir pengajianku di universiti, aku kena bijak membahagikan masa antara belajar, kerja dan cinta. Cinta? Risiko besar yang aku telah ambil dalam hidupku. Namun, aku percaya akan diriku. Jangan sesekali menuduh cinta sebagai sebab utama sesuatu kegagalan dalam belajar, tetapi kita sebenarnya yang bersalah kerana tidak bijak mengawal situasi cinta itu…

Hampir setiap malam selepas habis waktu bekerja, Izani membawa aku keluar makan, tengok wayang, bersiar-siar menikmati keindahan malam. Cinta sedang hangatlah katakan. Tak tidur malam pun tak apa, yang penting dapat bersama yang tersayang kan

“Ann, Iz nak tanya sikit boleh?”

“Tanya apa Iz? Beribu soalan pun Ann sanggup jawab…”

“Ann betul tak ada boyfriend?”

“Iz, kalau Ann dah ada seseorang, mesti Ann dok berkepit dengan handphone setiap saat kan. Lepas tu, mesti boyfriend Ann pernah datang café kita sebab rindukan Ann, main-main mata dengan Ann, betul tak? Lagipun, cukuplah ada seorang mamat tu kan selalu dok tengok-tengok Ann tau, dok senyum-senyum, main-main mata dengan Ann…”

“Erk? Siapa? Ann tak pernah cerita pun kat Iz. Kalau Iz tahu, dah lama Iz bagi makan penampar Iz ni kat mamat tak sedar diri tu tau.”

 “Ok, Iz angkat tangan kanan, lepas tu Iz bagi penampar kat muka Iz…Haha”

 Gelak tawa kami berdua memecah kesunyian malam. Bahagianya kurasa. Setelah setahun aku bersendirian, dikecewakan oleh cinta pertamaku. Cinta pertama hanyalah sebagai kenangan lama. Cinta kini kujadikan sebagai kehidupan baruku.

 “Ann, Ann sayang Iz banyak mana ya?”

 “Erk? Perlu ke tau? Emm…banyak mana ya…entah! Tak boleh jawablah Iz…lain kalilah ya. Iz, Ann peliklah. Masa awal Ann bekerja kat café tu, Iz layan Ann buruk sangat tau. Tapi makin lama Ann kat situ, Iz makin baik dengan Ann, jaga Ann. Ann dah jatuh cinta dengan Ann ya? Hihi. Ann nak tahu boleh, bila Iz tangkap lentok dengan Ann…”

“Oo…sebenarnya  kan…Entah! Iz tak boleh jawablah sayang…tak sedar pun. Tiba-tiba aje semua tu berubah sekelip mata…”

“Tapi kenapa mesti Ann? Kan ramai lagi perempuan lain. Saban hari Iz jumpa pelanggan-pelanggan wanita yang cantik, yang hot and spicy, seksi meletup, daring, jauh berbeza dengan diri Ann ni…”

“Sebabnya semua perempuan tu bukanlah Siti Raihana Ramli!”

Ouuchh! Hidung mancungku dipicit pantas. Aku tersenyum dan puas hati dengan jawapan Izani sebentar tadi. Kuharapkan sang Mentari yang muncul di siang hari terus memberikan sinar harapan, si Rembulan hadir di kala malam untuk mendengar suara agar esok masih ada sinar itu…

“Sayang, sayang boleh janji sesuatu?”

“Janji? Janji apa Iz?”

“Sayang janji sayang kena habiskan pelajaran sayang, lepas tu sayang cari kerja bagus-bagus tau. Iz tak nak tengok sayang jadi seperti Iz yang hanya penjual aiskrim ni. Bila kita ada ilmu, baru orang akan pandang kita, dengar cakap kita. Faham? Sayang mesti malu ada teman lelaki seperti Iz ni kan…”

Aku terus mengangkat tangan kanan seolah-olah berikrar, “Ann berjanji akan berusaha dan belajar bersungguh-sungguh hingga ke titisan terakhir. Ann juga berjanji pada diri Ann bahawasanya cinta Ann pada Iz tidak akan luntur walaupun Iz adalah penjual aiskrim! Ok tak? Hihi…”

“Bagus…Iz ada lagi satu permintaan dan sayang kena berjanji juga boleh?”

“Kenapa asyik berjanji aje malam ni? Macam dah tak ada hari esok, lusa pula, hehe…”

“Emm sayang janji tau, bila tiba-tiba Iz tak ada depan mata sayang, sayang jangan lupakan setiap detik cinta kita ya. Cinta yang bermula di Chinta Café hinggalah berakhir di Chinta Café juga. Bila sayang terasa rindu dengan Iz, sayang ambil aiskrim kesukaan sayang perisa vanilla tu, lepas tu sayang gabungkan dengan aiskrim strawberi yang Iz suka tu, lepas tu sayang makan aiskrim tu tau. Mesti sayang rasa seperti sedang makan aiskrim dengan Iz.”

 Aku yang sememangnya sedang menikmati kelazatan aiskrim vanilla tersentap dengan kata-kata Izani. Izani menuturkan katanya itu sambil menggabungkan aiskrim vanillaku dan aiskrim strawberinya dan kemudian menyuapkan aiskrim tersebut ke dalam mulutku. Sedap!

“Erk? Chop!! Apa Iz cakap ni? Ann tak fahamlah. Hihi. Iz nak pergi mana pula? Tiba-tiba aje cakap macam ni…”

“Emm tak ada apa-apalah sayang…entah apa Iz mengarut malam-malam buta ni…hehe..Dah habis makan dah? Jom kita balik. Dah pukul berapa dah ni…”

“Jom!”

BAB 5

Aku semakin sibuk dengan pelajaranku. Almaklumlah peperiksaan akhir semester semakin hampir. Tambahan pula aku juga bertungkus lumus menyiapkan projek akhir tahun aku. Aku meminta kelonggaran dari Encik Mokhtar, pengurus Chinta Cafe berkaitan dengan kerjaku. Alhamdulillah, beliau begitu faham akan keadaanku sekarang.

Izani? Hubungan kami berdua masih sama, cuma kami jarang bertemu seperti selalu. Kadang-kadang bila aku terasa lapar di tengah malam, Iz akan menjemput aku keluar makan, paling tidak pun dia akan menghantar makanan untukku. Aku bersyukur Iz amat memahami aku. Iz sentiasa memberi semangat untukku kerana dia mahu aku berjaya. Iz tak mahu melihat aku menjadi sepertinya.

Sayang…study? Ke sayang tidur ni? Isk budak ni…

Mesej masuk membuatkan aku terjaga. Aku tersenyum. Mana dia tau aku tidur ni. Hehe. Kantoi! Aku cepat-cepat membalas mesej Izani.

Mana ada! Ann tengah study ni…Ann tak tipu Iz.

Bunyi beep handphone menandakan mesej masuk lagi.

Iz tak kisah sayang tipu Iz ke tak, apa yang penting sayang kena ingat tau…
sayang yang akan jawab soalan exam…bukan Iz…

Alamak! Betul juga tu. Aku nak exam esok. Mana boleh tipu orang, nanti tak boleh jawab soalan pula.

Sorry Iz…Ann memang tertidur tadi. Ngantuk sangat. Huhu…

Aku bangun dari pembaringanku lalu menuju ke bilik air. Aku mengambil wuduk untuk menyegarkan tubuhku. Sekembalinya aku, bunyi mesej masuk kedengaran.

Tengok tu…dah tidur tadi kan…sekarang sambung study tau. Jangan lupa buat Nescafe panas.
Good luck esok sayang! Buat yang terbaik ok! Selamat malam sayang…

Sepanjang dua minggu peperiksaan berlangsung, Alhamdulillah aku dapat melaluinya dengan tenang. Semua subjek yang aku ambil, aku dapat menjawabnya. Dan aku tidak lupa bertawakal padaNya. Aku dah buat dan cuba yang terbaik. Semoga kejayaan menjadi milikku. Tidak sabar rasanya untuk memegang segulung ijazah dan berkongsi kegembiraan bersama mak ayahku, ahli keluargaku, dan tidak lupa juga bersama cinta hatiku, Izani. Izani pernah memberitahu bahawa dia teringin melihat aku berpakaian jubah konvokesyen sambil memegang ijazahku dan bergambar dengannya.

Setelah tamat menjawab kertas peperiksaan terakhir, aku terus menuju ke bus stop. Rasa rinduku pada Izani tidak terkawal lagi. Aku ingin membuat surprise padanya, aku pergi berjumpa dengannya yang sedang bekerja di Chinta Café. Izani tersenyum sebaik sahaja melihat kehadiranku. Oh Tuhan…aku terlalu cintakannya. Terima kasih kerana Kau pertemukan aku dengan lelaki sepertinya…

BAB 6

Yeahhh!! Aku berjaya! Keputusan peperiksaanku sudah keluar. Aku berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Alhamdulillah syukur padaNya…

“Hello Iz. Ann berjaya Iz. Ann dapat lulus cemerlang tau. Iz kena belanja Ann ni. Hehe…”

“Wah, tahniah sayang! Iz tau sayang mesti boleh punya kan. Ok setakat belanja makan aje, tak ada hal punya. Sayang tunggu Iz tau. Iz pergi jemput sayang sekarang. Sayang jangan lupa bawa keputusan sayang tu tau. Iz nak tengok. Kena ada bukti, baru Iz belanja.”

“Hah? Bukti? Iz tak percayakan Ann ya? Tapi tak apalah, yang penting Ann tak tipu Iz tau. Ok Ann tunggu kat kolej. Cepat sikit ya. Bye.”

Satu jam kemudian…

“Hello, Cik Raihana. Saya dari Hospital Seri Indah. Saya ingin memaklumkan pada cik bahawa kawan cik, Muhd Izani Izham telah terlibat dalam kemalangan sebentar tadi. Dan maaf, kami tak sempat menyelamatkan nyawa Encik Izani. Tuhan lebih sayangkan dia...”

Ya Allah! Apakah semua ini? Aku baru sahaja menerima berita gembira dan sekarang pula…tanpa berlengah, aku terus menuju ke Hospital Seri Indah ditemani teman sebilikku. Sampai sahaja aku di sana, aku diberi kebenaran melihat Izani. Bukan! Jasad Izani yang sudah berpisah dengan rohnya.

“Iz, Ann bawa bukti keputusan Ann. Iz tengoklah, Iz. Kan tadi Iz yang suruh Ann bawa sekali…Iz, Ann nak berkongsi kegembiraan Ann ni dengan Iz, bukannya nak berkongsi kesedihan…Kenapa Iz tinggalkan Ann…”

Teresak-esak aku menangis di sisi mayat Izani sambil memegang slip keputusan peperiksaanku. Aku dapat melihat Izani bagaikan tersenyum. Tetapi itu hanyalah khayalanku sahaja. Aku bertambah pilu apabila Dr. Azihan memberikan sesuatu padaku yang ditemui bersama Izani semasa kemalangan tersebut. Satu bungkusan coklat yang berisi satu pint aiskrim. Separuh pint diisi dengan aiskrim vanilla dan separuh lagi perisa strawberi. Aku semakin menahan sendu. Tiga kuntum ros merah yang sudah terlerai beberapa kelopaknya dan sekeping kad aku terima.

Assalamualaikum sayang…

            Tahniah atas kejayaan sayang. Iz minta maaf kalau Iz tak sempat tengok muka gembira sayang. Tapi Iz nak sayang tau, Iz bangga dengan sayang. Atas kejayaan sayang tu, Iz ‘hadiah’kan bukti cinta kita, aiskrim ni beserta ros merah. Semoga cinta kita tak akan luput di hati sayang. Untuk pengetahuan sayang, Iz cintakan sayang sejak pertama kali Iz melihat sayang. Love you sayang ever and ever…thank you for being such a wonderful girl in my life…

Strawberi Chinta Café,
Izani

Dua tahun sudah berlalu…

Aku sedang menikmati aiskrim vanilla bercampur dengan perisa strawberi di Chinta Café. Itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Setiap kali aku merinduinya, aku pasti ke mari memakan aiskrim ini. Air mataku pasti menitis. Oh Tuhan…aku terlalu rindukannya…

Iz, Ann dah makan dah bahagian vanilla ni. Ann tinggalkan bahagian strawberi ni untuk Iz tau. Iz kena habiskan tau…

Aku berlalu pergi…tinggalkan kenangan aku bersama Izani di Chinta Café…

***********************************************************************************

Cerpen pertama yg aku hantar kat PENULISAN2U...
Alhamdulillah sambutan pembaca pun menggalakkan sgt2 hikhik...



No comments:

Post a Comment